Globeride
LANGUAGE
MS EN
PROJEK PEMATUHAN PERLINDUNGAN DATA GLOBERIDE:
Adendum APAC pada Dasar Perlindungan Maklumat Peribadi GLOBERIDE
1. Pendahuluan
Adendum ini menerangkan bagaimana GLOBERIDE, Inc. dan syarikat-syarikat kumpulannya (selepas ini dirujuk sebagai “GLOBERIDE”) memproses data peribadi berkaitan dengan pelanggan dan rakan niaga (selepas ini dirujuk sebagai “Pelanggan” atau “Anda”) yang berada di Rantau Asia Pasifik, termasuk Australia, China, Hong Kong, Malaysia, Republik Korea, Singapura, Taiwan, Thailand, dan Vietnam (“APAC”). Jika Anda berada di APAC, data peribadi Anda akan diproses selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa berdasarkan penglibatan Anda dengan pejabat tempatan GLOBERIDE termasuk:
  1. Akta Privasi Australia untuk Pelanggan di Australia;
  2. Undang-undang Perlindungan Maklumat Peribadi China untuk Pelanggan di China;
  3. Ordinan Privasi Data Peribadi Hong Kong untuk Pelanggan di Hong Kong;
  4. Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia untuk Pelanggan di Malaysia;
  5. Akta Perlindungan Maklumat Peribadi Republik Korea untuk Pelanggan di Republik Korea;
  6. Akta Perlindungan Data Peribadi Singapura untuk Pelanggan di Singapura;
  7. Akta Perlindungan Data Peribadi Taiwan untuk Pelanggan di Taiwan;
  8. Akta Perlindungan Data Peribadi Thailand untuk Pelanggan di Thailand; dan
  9. Undang-undang Perlindungan Data Peribadi Vietnam untuk Pelanggan di Vietnam,
dan undang-undang perlindungan data kebangsaan lain yang berkaitan, serta sebarang undang-undang perlindungan data dan privasi lain yang berkuat kuasa (bersama-sama, “Undang-undang Perlindungan Data”).

Sila ambil maklum, bahawa Undang-undang Perlindungan Data adalah serupa dari pelbagai aspek material merentas APAC, individu-individu di semua bidang kuasa mempunyai hak-hak yang serupa, dan dalam keadaan tertentu, Undang-undang Perlindungan Data dikenakan terhadap aktiviti pemprosesan yang sama oleh GLOBERIDE.

Adendum ini harus dibaca bersama-sama dengan Dasar Perlindungan Maklumat Peribadi GLOBERIDE, yang menerangkan kategori-kategori data peribadi yang diproses oleh GLOBERIDE, bagaimana data tersebut dikumpul, implikasi yang berbangkit jika Anda enggan memberikan data peribadi, sama ada dan bila data peribadi akan dikongsi dengan pihak ketiga, serta bagaimana data peribadi diuruskan dan disimpan dengan selamat. Istilah yang ditakrifkan di dalam Dasar Perlindungan Maklumat Peribadi GLOBERIDE akan membawa maksud yang sama apabila digunakan di dalam Adendum ini, kecuali dinyatakan dengan jelas sebaliknya.
2. Skop Adendum ini
Adendum ini membentangkan bagaimana GLOBERIDE akan memproses data peribadi berkaitan dengan Pelanggan yang sama ada berada di APAC atau yang data peribadinya sebaliknya dilindungi di bawah Undang-undang Perlindungan Data di bidang kuasa tersebut (di dalam ini, “Pelanggan APAC”). Adendum ini turut membentangkan bagaimana Pelanggan APAC boleh melaksanakan hak mereka di bawah Undang-undang Perlindungan Data. Sekiranya terdapat apa-apa perkara yang tidak konsisten antara Dasar Perlindungan Maklumat Peribadi GLOBERIDE dan Adendum ini, Adendum ini akan diberi keutamaan berkenaan dengan Pelanggan APAC.

Sila ambil maklum bahawa sebarang data peribadi berkaitan dengan aktiviti pemprosesan yang dilaksanakan oleh GLOBERIDE (termasuk syarikat-syarikat kumpulannya di dalam APAC) yang tidak jatuh ke dalam skop Adendum ini, adalah tertakluk kepada peruntukan notis-notis privasi yang diterbitkan secara berasingan.
3. Butir-butir pengawal
Pengawal (yang membuat keputusan mengenai bagaimana dan mengapa data peribadi Anda digunakan) berkenaan dengan data peribadi Anda adalah GLOBERIDE, Inc. Syarikat-syarikat lain di dalam kumpulan GLOBERIDE boleh membuat keputusan tentang data peribadi Anda sebagai pengawal bebas atau pengawal bersama berkenaan dengan aktiviti khusus yang tertentu, seperti yang diterangkan di dalam Seksyen 2 Adendum ini.

Anda boleh menghubungi Pegawai Perlindungan Data GLOBERIDE jika Anda mempunyai apa-apa soalan atau kebimbangan mengenai data peribadi Anda dengan menghantar e-mel kepada: dpo@globeride.co.jp.
4. Asas undang-undang bagi pengendalian (pemprosesan) data peribadi Anda
Menurut Undang-undang Perlindungan Data, GLOBERIDE hendaklah mempunyai ‘asas undang-undang’ yang sah di bawah Undang-undang Perlindungan Data untuk memproses data peribadi. Jadual di bawah membentangkan tujuan kami memproses data peribadi Anda dan asas undang-undang relevan yang diguna pakai. Asas undang-undang yang dibentangkan di dalamnya ditetapkan berdasarkan prinsip undang-undang perlindungan data am, tetapi mungkin wujud perbezaan tertentu pada penerapannya. Sila lihat Maklumat Tambahan yang bersesuaian dengan negara masing-masing untuk mendapatkan butir-butir lanjut. Setiap asas undang-undang dihuraikan dengan lebih terperinci di bawah:
Tujuan Jenis maklumat Asas undang-undang
Penjualan dan pembekalan produk, perkhidmatan, dan barangan berkaitan GLOBERIDE. Maklumat peribadi, maklumat hubungan, dan maklumat pembayaran; Maklumat keahlian. Sama ada:
  1. (bagi kontrak dengan Pelanggan individu) pemprosesan perlu dilakukan untuk memasuki atau melaksanakan kontrak dengan Anda; atau
  2. (dalam semua keadaan lain) pemprosesan perlu dilakukan bagi tujuan kepentingan sah GLOBERIDE (untuk selesai mencapai kontrak dengan Anda atau dengan pelanggan atau pembekal lain).
Semakan dan analisis terhadap status pembelian dan penggunaan produk, perkhidmatan, dan barangan berkaitan GLOBERIDE. Maklumat peribadi, maklumat hubungan; maklumat IT dan sistem. Pemprosesan perlu dilakukan bagi tujuan kepentingan sah GLOBERIDE (untuk menguruskan, membangunkan dan mempertingkatkan perniagaan kami dan produk, perkhidmatan dan barangan berkaitan yang ditawarkan oleh kami).
Menjalankan tinjauan terhadap produk, perkhidmatan, dan barangan berkaitan GLOBERIDE. Maklumat peribadi, maklumat hubungan; Kandungan pertanyaan dan pendapat; maklumat IT dan sistem. Pemprosesan perlu dilakukan bagi tujuan kepentingan sah GLOBERIDE (untuk menguruskan, membangunkan dan mempertingkatkan perniagaan kami dan produk, perkhidmatan dan barangan berkaitan yang ditawarkan oleh kami).
Pembangunan produk, perkhidmatan, dan barangan berkaitan yang baharu. Maklumat keahlian dan penggunaan perkhidmatan; maklumat IT dan sistem. Pemprosesan perlu dilakukan bagi tujuan kepentingan sah GLOBERIDE (untuk menguruskan, membangunkan dan mempertingkatkan perniagaan kami dan produk, perkhidmatan dan barangan berkaitan yang ditawarkan oleh kami).
Untuk menghubungi Anda berkenaan dengan produk, perkhidmatan, dan barangan berkaitan GLOBERIDE (tidak termasuk pemasaran langsung). Maklumat peribadi, maklumat hubungan; Maklumat keahlian dan penggunaan perkhidmatan; Kandungan pertanyaan dan pendapat. Pemprosesan perlu dilakukan bagi tujuan kepentingan sah (untuk menyediakan pengalaman terbaik untuk Anda dan untuk memastikan bahawa Anda mempunyai semua maklumat yang diperlukan untuk menggunakan produk, perkhidmatan, dan barangan berkaitan kami dengan sepenuhnya).
Perancangan dan pengurusan pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh GLOBERIDE dan subkontraktor luaran atau syarikat rakan niaganya (seperti acara dan kempen). Maklumat peribadi, maklumat hubungan; maklumat IT dan sistem. Pemprosesan perlu dilakukan bagi tujuan kepentingan sah (untuk menguruskan, membangunkan dan mempromosi perniagaan kami dan perniagaan subkontraktor dan syarikat rakan niaga kami).
Menyediakan maklumat berkenaan dengan perkhidmatan, produk, acara, dan kempen yang dikendalikan oleh GLOBERIDE dan subkontraktor luaran dan syarikat rakan niaga GLOBERIDE, melalui pelbagai cara, termasuk mel langsung, surat berita e-mel, pemberitahuan, dan iklan. Maklumat peribadi, maklumat hubungan; maklumat IT dan sistem. Sama ada:
  1. Anda telah memberikan kebenaran untuk menerima maklumat relevan; atau
  2. pemprosesan perlu dilakukan bagi tujuan kepentingan sah (untuk menguruskan, membangunkan dan mempromosi perniagaan kami dan perniagaan subkontraktor dan syarikat rakan niaga kami, dan untuk menawarkan produk, perkhidmatan, dan barangan berkaitan yang mungkin menarik minat Anda). Sila ambil maklum bahawa kepentingan sah hanya akan disandarkan jika kebenaran tidak dikehendaki dengan khusus oleh Undang-undang Perlindungan Data, termasuk peraturan e-privasi berkenaan dengan ‘cookies’ dan pemasaran langsung.
Analisis maklumat peribadi atau maklumat teknikal (seperti penggunaan produk dan perkhidmatan sejarah pelayaran laman web dan aplikasi mudah alih yang dirancang dan dikendalikan oleh GLOBERIDE) untuk menilai hobi, pilihan, kecenderungan pembelian, dan ciri-ciri lain Pelanggan agar dapat menyampaikan pengiklanan yang lebih relevan. Maklumat peribadi, maklumat hubungan; maklumat IT dan sistem. Sama ada:
  1. Anda telah membenarkan pemprosesan; atau
  2. pemprosesan perlu dilakukan bagi tujuan kepentingan sah (untuk menguruskan, membangunkan dan mempromosi perniagaan kami dan perniagaan subkontraktor dan syarikat rakan niaga kami, dan untuk menawarkan produk, perkhidmatan, dan barangan berkaitan yang mungkin menarik minat Anda). Sila ambil maklum bahawa kepentingan sah hanya akan disandarkan jika kebenaran tidak dikehendaki dengan khusus oleh Undang-undang Perlindungan Data, termasuk peraturan e-privasi berkenaan dengan ‘cookies’ dan pemasaran langsung.
Membalas pertanyaan dan permintaan. Maklumat peribadi, maklumat hubungan; Kandungan pertanyaan dan pendapat. Pemprosesan perlu dilakukan bagi tujuan kepentingan sah (untuk berkomunikasi, membalas dan menangani pertanyaan dan permintaan).
Berkongsi maklumat di dalam kumpulan GLOBERIDE, serta dengan subkontraktor dan rakan niaga (seperti yang dibentangkan di dalam Seksyen 8 "Penggunaan Bersama” dalam Dasar Perlindungan Maklumat Peribadi GLOBERIDE). Mana-mana daripada di atas. Pemprosesan perlu dilakukan bagi tujuan kepentingan sah (untuk menguruskan, membangunkan dan mempertingkatkan perniagaan kami dan produk, perkhidmatan dan barangan berkaitan yang ditawarkan oleh kami; untuk mencegah penipuan; dalam konteks langkah penyusunan semula perniagaan atau penstrukturan semula kumpulan).
Data peribadi Anda juga mungkin diproses oleh GLOBERIDE bagi tujuan lain dan berdasarkan asas undang-undang yang lain berkenaan dengan aktiviti khusus yang tertentu (seperti sokongan pasca-jualan) sebagaimana yang dibentangkan di dalam Seksyen 2 Adendum ini.

Pelaksanaan kontrak: Ini bererti bahawa GLOBERIDE akan memproses data peribadi Anda setakat mana yang perlu untuk memasuki atau melaksanakan kontrak dengan Anda. Ini termasuk pemprosesan pembayaran, pengebilan dan maklumat penghantaran. Ini hanya akan dikenakan jika GLOBERIDE berkontrak dengan individu.

Kepentingan Sah: Ini bererti bahawa GLOBERIDE (atau pihak ketiga, seperti subkontraktor atau rakan niaga) mempunyai kepentingan sah untuk memproses data peribadi Anda bagi tujuan yang khusus dan bahawa kepentingan tersebut tidak diatasi oleh hak dan kepentingan Anda sendiri. Contohnya, mengagregat dan menganalisis maklumat penggunaan tanpa nama demi mempertingkatkan produk atau perkhidmatan GLOBERIDE, atau menggunakan alamat e-mel Anda untuk memaklumkan Anda mengenai pengumuman keselamatan produk yang penting.

Obligasi undang-undang: GLOBERIDE boleh memproses data peribadi Anda setakat mana yang perlu untuk mematuhi obligasi undang-undang. Contohnya, berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa cukai atau penguatkuasaan undang-undang.

Kebenaran: GLOBERIDE akan menggunakan maklumat peribadi sejauh mana seseorang individu telah memberikan kebenaran mereka yang khusus dan termaklum terhadap penggunaan tersebut. Kebenaran hanya sah jika diberikan dengan bebas dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa. Salah satu contoh situasi ini adalah jika Pelanggan telah memilih untuk menerima bahan pemasaran.

Peraturan tambahan dikenakan apabila memproses data peribadi sensitif (juga dikenali sebagai ‘data kategori khas’), seperti maklumat mengenai bangsa, fahaman, sejarah perubatan seseorang, atau apabila memproses maklumat mengenai rekod jenayah. GLOBERIDE secara amnya tidak akan memproses data peribadi sensitif mengenai Anda, dan sekiranya ada kemungkinan ini berlaku, kami akan meminta kebenaran nyata daripada Anda dan/atau memberikan maklumat tambahan kepada Anda yang menerangkan bagaimana dan mengapa maklumat sedemikian diproses.
5. Pemindahan antarabangsa
GLOBERIDE, Inc., terletak di Jepun, sebuah negara yang telah diiktiraf oleh pelbagai pihak berkuasa perlindungan data di rantau APAC serta oleh Suruhanjaya Eropah dan UK, iaitu dua pihak berkuasa panduan yang utama di dunia, sebagai menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk data peribadi. Namun, data peribadi Anda mungkin dikongsi dengan syarikat dan penyedia perkhidmatan GLOBERIDE di dalam bidang kuasa lain dan data Anda mungkin disimpan di dalam pusat data selamat yang terletak di luar APAC.

Anda harus sedar bahawa bidang kuasa di luar APAC tidak semestinya menyediakan perlindungan yang setara untuk data peribadi Anda. Kaedah yang kami gunakan untuk melindungi data peribadi Anda yang dipindahkan ke bidang kuasa lain biasanya adalah satu atau lebih daripada satu kaedah berikut:
  • memastikan penerima berada di negara yang telah diluluskan, selaras dengan Undang-undang Perlindungan Data, sebagai menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk data peribadi. Jika GLOBERIDE, Inc. memindahkan data peribadi keluar dari Jepun, kami juga akan memastikan kami mematuhi keperluan pemindahan keluar yang ditetapkan oleh Keputusan-keputusan Kecukupan EU/UK-Jepun dan undang-undang Jepun yang berkaitan;
  • (jika penerima berada di Amerika Syarikat) memastikan bahawa penerima dinyatakan di dalam Senarai Rangka Kerja Privasi Data sebagai menyertai Rangka Kerja Privasi Data EU-AS (“DPF EU-AS”) atau (jika berkenaan) Sambungan UK pada DPF EU-AS, dan pemindahan adalah tertakluk kepada Prinsip-prinsip DPF EU-AS apabila diterima oleh penerima;
  • mewujudkan pelindung yang sesuai seperti menghendaki penerima memasuki Klausa-klausa Kontrak Standard atau Klausa-klausa Perlindungan Data Standard yang diluluskan selaras dengan Undang-undang Perlindungan Data; atau
  • Undang-undang Perlindungan Data sebaliknya membenarkan kami membuat pemindahan.

Jika Anda ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai di mana data peribadi Anda disimpan dan dipindahkan, atau kaedah yang kami gunakan untuk melindungi data peribadi Anda agar mencapai standard yang mencukupi, sila hubungi kami.
6. Penyimpanan data peribadi
GLOBERIDE menyimpan data peribadi selama mana yang perlu bagi tujuan pengumpulannya atau, jika dibenarkan, untuk sebab bersesuaian yang berkaitan, dengan syarat sentiasa bahawa terdapat asas undang-undang yang sah untuk GLOBERIDE meneruskan pemprosesan. Oleh itu, tempoh penyimpanan yang sesuai akan ditentukan oleh sifat maklumat dan tujuan maklumat dikumpul, serta oleh keperluan undang-undang dan perakaunan yang dikenakan dan keperluan perniagaan GLOBERIDE yang sah. Untuk maklumat terperinci mengenai tempoh penyimpanan, sila hubungi kami.
7. Hak Anda di bawah Undang-undang Perlindungan Data
Anda mempunyai hak undang-undang berikut berkaitan dengan data peribadi Anda. Hak yang dibentangkan di bawah ditetapkan berdasarkan prinsip-prinsip undang-undang perlindungan data am, tetapi mungkin wujud perbezaan tertentu dari segi penerapannya. Sila lihat Maklumat Tambahan yang bersesuaian dengan negara masing-masing untuk butir-butir lanjut.

  • Akses kepada data peribadi Anda: Anda berhak meminta butir-butir data peribadi yang disimpan oleh GLOBERIDE dan untuk mendapatkan sesalinan maklumat tersebut. Sila ambil maklum bahawa terdapat had yang dikenakan terhadap hak ini dan GLOBERIDE mungkin tidak dapat memberikan semua data peribadi Anda kepada Anda.
  • Pembetulan data peribadi Anda: Anda berhak pada bila-bila masa untuk meminta GLOBERIDE membetulkan data peribadi Anda jika data peribadi Anda tidak tepat atau tidak lengkap.
  • Pemadaman data peribadi Anda: Dalam keadaan tertentu, Anda boleh meminta GLOBERIDE memadamkan data peribadi Anda. Sila ambil maklum bahawa hak ini bukan hak mutlak dan dalam beberapa situasi, kami tidak akan dapat memadamkan data peribadi Anda.
  • Sekatan terhadap penggunaan data peribadi Anda: Dalam keadaan tertentu, Anda boleh meminta GLOBERIDE menyekat bagaimana data peribadi Anda digunakan, dan dalam keadaan sedemikian, data peribadi Anda akan terus disimpan tetapi hanya akan digunakan bagi tujuan yang terbatas (seperti tuntutan undang-undang).
  • Kemudahalihan data peribadi Anda: Dalam keadaan tertentu, Anda boleh meminta GLOBERIDE memindahkan data peribadi Anda kepada organisasi lain atau kepada Anda dalam format yang lazim digunakan untuk menyimpan dan mengakses data sedemikian. Ini hanya boleh dilakukan jika Anda telah memberikan data peribadi Anda kepada GLOBERIDE dan asas undang-undang bagi penggunaan data peribadi Anda oleh GLOBERIDE adalah sama ada kebenaran Anda atau bahawa maklumat sedemikian diperlukan untuk melaksanakan kontrak.
  • Menarik balik kebenaran: Jika Anda telah memberikan kebenaran terhadap asas undang-undang GLOBERIDE untuk menggunakan data peribadi Anda, Anda berhak menarik balik kebenaran Anda pada bila-bila masa, dan dalam keadaan sedemikian, GLOBERIDE akan berhenti menggunakan data peribadi Anda.
  • Membantah GLOBERIDE menggunakan data peribadi Anda: Anda boleh membantah GLOBERIDE menggunakan data peribadi Anda sama ada:
    1. atas dasar kepentingan sah, dan dalam keadaan sedemikian GLOBERIDE hanya akan terus memproses maklumat Anda jika terdapat sebab yang mendorong yang mengatasi sebarang risiko kepada Anda;
    2. bagi tujuan pemasaran langsung, dan dalam keadaan sedemikian GLOBERIDE akan berhenti menggunakan data peribadi Anda bagi tujuan ini; atau
    3. berhubung dengan langkah membuat keputusan atau pemprofilan secara automatik. Sila ambil maklum bahawa GLOBERIDE tidak memproses data peribadi dalam cara yang merupakan langkah membuat keputusan secara automatik.
8. Menyerahkan dan membalas permintaan
Proses melaksanakan hak subjek data yang dibentangkan di dalam Seksyen 7 di atas adalah seperti berikut:
Masa balasan
GLOBERIDE akan berusaha untuk membalas permintaan untuk data peribadi dalam masa satu bulan atau tempoh lebih singkat, bergantung kepada undang-undang setiap negara APAC. Dalam sesetengah keadaan (contohnya, jika permintaan Anda adalah rumit atau Anda telah membuat permintaan yang banyak), masa untuk memberikan balasan mungkin melebihi satu bulan. Sila ambil maklum juga bahawa hak Anda adalah tertakluk kepada pengecualian, dan dalam keadaan tertentu, hak Anda tidak boleh dikuatkuasakan.
Maklumat tambahan mengenai Anda
GLOBERIDE mungkin perlu meminta maklumat tambahan daripada Anda untuk menentusahkan identiti Anda. Ini merupakan satu langkah keselamatan untuk memastikan bahawa data peribadi tidak diberikan kepada sesiapa yang tidak berhak menerimanya. Kami juga mungkin menghubungi Anda untuk memperjelaskan permintaan Anda.
Fi
Anda secara amnya tidak perlu membuat apa-apa bayaran untuk mengakses data peribadi Anda atau untuk melaksanakan sebarang hak Anda yang lain. Namun, jika GLOBERIDE menentukan bahawa sesuatu permintaan adalah tidak munasabah, GLOBERIDE boleh mengenakan fi yang munasabah untuk memberikan balasan. Contohnya, jika Anda membuat pelbagai permintaan atau meminta banyak salinan maklumat.

Sila ambil maklum bahawa jika suatu permintaan jelas adalah tidak berasas atau menyusahkan (contohnya, memang ketara bahawa permintaan dibuat untuk mengacau atau mengganggu GLOBERIDE), kami tidak akan mematuhinya.
9. Bagaimana untuk membuat aduan
Jika Anda percaya bahawa GLOBERIDE telah salah mengendalikan data peribadi Anda atau tidak mematuhi obligasi undang-undangnya, Anda berhak membuat aduan kepada pengawal selia atau pihak berkuasa pengawalseliaan perlindungan data di negara Anda, atau sebaliknya memohon remedi kehakiman. Walau bagaimanapun, sebagai langkah pertama, kami berharap agar Anda dapat menghubungi GLOBERIDE dan Pegawai Perlindungan Data (“DPO”) terlebih dahulu supaya kami boleh cuba menyelesaikan isu tersebut secara terus.

Untuk rujukan, butir-butir pihak berkuasa pengawalseliaan bagi bidang kuasa APAC boleh didapati di:
  1. Australia: https://www.oaic.gov.au/
  2. China: https://www.cac.gov.cn/
  3. Hong Kong: https://www.pcpd.org.hk/
  4. Malaysia: https://www.pdp.gov.my/ppdpv1/en/main-page/
  5. Republik Korea: https://www.pipc.go.kr/eng/index.do
  6. Singapura: https://www.pdpc.gov.sg/
  7. Taiwan: https://www.pdpc.gov.tw/en/
  8. Thailand: https://www.pdpc.or.th/
  9. Vietnam: https://en.bocongan.gov.vn/

Jika Anda mempunyai apa-apa aduan, kebimbangan atau soalan mengenai data peribadi Anda, sila hubungi DPO GLOBERIDE dengan menghantar e-mel kepada: dpo@globeride.co.jp.

Adendum ini terakhir dikemaskinikan pada 10 Disember 2025.
Daiwa Malaysia
Maklumat Tambahan Undang-Undang Malaysia
1. Pengenalan
Maklumat Tambahan Undang-Undang Malaysia ini (“Maklumat Tambahan”) menerangkan cara Daiwa Sports (M) Sdn. Bhd. (201601004061 (1174987-X)) (“Daiwa Malaysia”), entiti induknya, GLOBERIDE, Inc., serta syarikat-syarikat kumpulannya yang berkaitan (secara kolektif dirujuk sebagai “GLOBERIDE”, “kami” atau “kita”) mengendalikan data peribadi yang berkaitan dengan Pelanggan yang berada di Malaysia atau yang data peribadinya dilindungi oleh Undang-undang Perlindungan Data Malaysia. Sekiranya Anda tidak berada di Malaysia tetapi data peribadi Anda dilindungi oleh undang-undang tersebut, peruntukan Dasar (Policy) (seperti yang ditakrifkan di bawah) dan Addendum (seperti yang ditakrifkan di bawah) akan terpakai terhadap data peribadi Anda melalui Maklumat Tambahan ini, tanpa mengira apa-apa peruntukan dalam Dasar dan/atau Addendum yang mungkin menyatakan skop pemakaian yang berlainan.

Maklumat Tambahan ini hendaklah dibaca bersama Dasar Perlindungan Maklumat Peribadi GLOBERIDE (GLOBERIDE Personal Information Protection Policy) (“Dasar”) dan Adendum APAC pada Dasar Perlindungan Maklumat Peribadi GLOBERIDE (APAC Addendum to the GLOBERIDE Personal Information Protection Policy) (“Adendum”). Istilah yang ditakrifkan dalam Dasar dan Adendum membawa maksud yang sama apabila digunakan di dalam Maklumat Tambahan ini, kecuali jika dinyatakan sebaliknya secara nyata di dalam Maklumat Tambahan ini.

Peruntukan dalam Dasar dan Addendum terpakai terhadap Pelanggan yang berada di Malaysia hanya setakat yang tidak bercanggah dengan Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi Malaysia. Sekiranya terdapat apa-apa perkara yang tidak konsisten antara Dasar, Adendum dan Maklumat Tambahan ini, Maklumat Tambahan ini akan diberi keutamaan berkenaan dengan Pelanggan Pelanggan yang berada di Malaysia.
2. Pengawal Data
Entiti yang memproses data peribadi Anda ialah Daiwa Malaysia dan/atau syarikat-syarikat kumpulan GLOBERIDE yang berkaitan. Syarikat lain dalam kumpulan GLOBERIDE juga mungkin mengendalikan data peribadi Anda bagi aktiviti-aktiviti tertentu sebagaimana yang dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Dasar dan Adendum.

Anda boleh menghubungi GLOBERIDE untuk mengemukakan sebarang pertanyaan, kebimbangan, atau aduan berkenaan dengan data peribadi Anda, atau untuk melaksanakan hak statutori Anda terhadap data peribadi Anda (contohnya, hak untuk membuat permintaan akses dan permintaan pembetulan) melalui butiran hubungan berikut:
Jawatan: Pegawai Perlindungan Data
Telefon: +81-90-7234-5959
Emel: dpo@globeride.co.jp
3. Pembetulan Data Peribadi Anda
Berhubung dengan Seksyen 7 Adendum, Anda juga mempunyai hak pada bila-bila masa untuk meminta GLOBERIDE membetulkan data peribadi Anda sekiranya data tersebut mengelirukan atau tidak terkini.
4. Sekatan terhadap Penggunaan Data Peribadi Anda
Berhubung dengan Seksyen 7 Adendum, antara keadaan di mana Anda boleh meminta GLOBERIDE untuk mengehadkan pemprosesan data peribadi Anda termasuklah apabila pemprosesan data peribadi itu, atau pemprosesan bagi suatu maksud yang tertentu atau mengikut cara yang tertentu, menyebabkan atau mungkin menyebabkan kerosakan yang substansial atau distres yang substansial kepada Anda atau kepada orang lain, dan kerosakan atau distres tersebut adalah atau akan menjadi tidak wajar.
5. Pindahan Rentas Sempadan Data Peribadi
Dalam perjalanan perniagaan kami, dan bergantung pada sifat hubungan Anda dengan kami, mungkin perlu untuk kami memindahkan data peribadi Anda ke lokasi di luar Malaysia. Peruntukan ini melengkapi peruntukan mengenai pemindahan rentas sempadan data peribadi yang terdapat dalam Dasar dan Adendum.

Apabila pemindahan rentas sempadan data peribadi Anda keluar dari Malaysia adalah diperlu bagi tujuan yang dinyatakan dalam Dasar, Adendum dan Maklumat Tambahan ini, Anda dengan ini memberikan persetujuan terhadap pemindahan tersebut.

Pindahan sedemikian mungkin berlaku dalam pelbagai keadaan, termasuk tetapi tidak terhad kepada yang berikut:
  1. apabila kemudahan penyimpanan, pemprosesan, atau pengehosan data kami terletak di luar Malaysia;
  2. apabila pemberi perkhidmatan kami berada di luar Malaysia dan menyokong kami dalam menyediakan sokongan pelanggan, analitik, pemprosesan pembayaran, pemasaran, perkhidmatan IT, atau perkhidmatan lain; atau
  3. apabila pindahan tersebut dikehendaki atau dibenarkan di bawah undang-undang yang terpakai.

Golongan pihak ketiga yang kepadanya data peribadi Anda mungkin dipindahkan ke luar Malaysia termasuklah, tanpa had, syarikat induk kami, anak syarikat, entiti kumpulan, ahli gabungan, rakan niaga, gerbang pembayaran, pemberi perkhidmatan IT dan awan, penasihat profesional, serta vendor atau pemberi perkhidmatan lain yang dilantik bagi tujuan-tujuan yang dinyatakan dalam Dasar, Adendum dan Maklumat Tambahan ini.

Tujuan pemindahan tersebut termasuk, antara lain, pentadbiran keahlian, pengurusan hubungan pelanggan, pemprosesan transaksi, penyampaian produk dan perkhidmatan, penyelenggaraan sistem, analitik data, sokongan pelanggan, dan apa-apa tujuan perniagaan yang sah yang berkaitan dengan penggunaan produk atau perkhidmatan kami oleh Anda.
6. Sumber Data Peribadi
Bergantung pada sifat hubungan Anda dengan kami serta produk atau perkhidmatan yang Anda gunakan atau beli, kami mungkin mengumpul atau memperoleh data peribadi Anda daripada satu atau lebih sumber berikut, tanpa had:
  1. Secara Langsung daripada Anda – termasuk tetapi tidak terhad kepada maklumat yang diberikan melalui pendaftaran akaun, borang dalam talian atau bercetak, pendaftaran perkhidmatan, borang pesanan, surat-menyurat (seperti emel, mesej, atau panggilan), tinjauan, penyertaan dalam aktiviti pemasaran, atau semasa penggunaan atau pembelian produk atau perkhidmatan kami.
  2. Daripada Pihak Ketiga – termasuk tetapi tidak terhad kepada ahli gabungan dalam kumpulan syarikat GLOBERIDE, rakan niaga, pengedar semula, pemproses pembayaran, pemberi perkhidmatan analitik atau pemasaran, platform media sosial, serta pemberi perkhidmatan atau vendor lain yang dilantik oleh kami berhubung dengan produk atau perkhidmatan kami. Kami juga mungkin mengumpul data peribadi daripada sumber awam, termasuk daftar rasmi, laman sesawang awam, dan platform rangkaian sosial atau profesional.
7. Kewajipan untuk Memberikan Data
Selain daripada yang dinyatakan sebaliknya oleh kami, data peribadi yang kami kumpul atau peroleh mengenai Anda adalah wajib untuk diproses bagi mencapai tujuan-tujuan seperti yang dinyatakan dalam Dasar, Adendum, dan Maklumat Tambahan ini (contohnya untuk menubuhkan dan mengurus keahlian atau hubungan pelanggan Anda dengan kami, memudahkan pembelian dan penggunaan produk, perkhidmatan, dan barangan berkaitan, memproses pembayaran dan transaksi Anda, memenuhi tanggungjawab dan kewajipan undang-undang kami, dan sebagainya). Jika Anda berpendapat bahawa maklumat tertentu tidak wajib, sila hubungi kami untuk penjelasan sebelum menahan maklumat tersebut.
8. Akibat Tidak Memberikan Data yang Wajib
Bergantung pada keadaan, sekiranya Anda tidak memberikan kami data peribadi yang diperlukan, atau jika Anda meminta supaya kami memberhentikan pemprosesan data peribadi Anda, kami mungkin tidak dapat menyediakan produk, perkhidmatan, atau manfaat yang Anda minta, mencapai apa-apa tujuan yang dinyatakan dalam Dasar, Adendum, dan/atau Maklumat Tambahan ini, atau melaksanakan kewajipan kontraktual atau undang-undang kami. Ini termasuk, tanpa had, ketidakupayaan kami untuk mengesahkan identiti Anda, memproses pesanan, menyampaikan produk atau perkhidmatan yang diminta, berkomunikasi dengan Anda mengenai akaun atau transaksi Anda, atau menjawab pertanyaan atau aduan Anda.
PAGE TOP